Sabtu, 28 November 2009

PEMAHAMAN TENTANG TAHFIZ YANG PERLU DIPERBETULKAN


 Berbagai pihak telah menganjurkan program di musim cuti. Ia bertujuan  mengisi masa lapang  anak-anak daripada terbiar begitu saja.  Ada yang dinamakan Klinik Solat, Klinik Remaja, Intensif Musim Cuti, Kem Remaja, Kem Tahfiz, Kem Motivasi, dan banyak lagi. Antara program-program tersebut, yang paling popular ialah Kem Tahfiz. Tak tahu apa sebabnya, yang pasti Kem Tahfiz selalunya mendapat sambutan yang menggalakkan. Tak kira sama ada anak-anak mereka pandai baca al-Quran mahupun tidak.  Terlalu ghairah hingga tak cukup tempat.

Dulu, nak jadi orang hafiz tak semudah itu. Mesti lalui temuduga, mampu membaca al-Quran dengan baik, mampu menghafal, lulus ujian bertulis, berminat, dan sebagainya. Institusinya sangat dijaga dan dihormati. Sekarang, semua tu tak payah. Boleh hantar ke mana saja asalkan ada anjuran Kem Tahfiz tanpa mengambil kira susah payah menjaga al-Quran. Apatah lagi bila pulang ke rumah, siapa yang akan mengawasinya. Ayat yang dihafal, tiada siapa yang mempedulinya sedangkan ayat-ayat yang dihafal perlu diulang dan dijaga setiap hari.  Mesti ada rasa hormat pada Kalam Allah. Jangan hingga Kalam Allah sudah menjadi satu permainan. Jangan ada pula yang ambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Nampaknya macam mudah, tapi hakikatnya banyak perkara yang perlu dijaga. Jangan sekadar mencampak anak-anak, lepas tangan, lalu berbangga kononnya anak dimasukkan Kem Tahfiz. Memang hasrat ibubapa itu suci, tapi perlu ada ilmu. Jika betul berminat jadikan anak-anak seorang hafiz, maka hantarlah ke institut tahfiz yang ada. Di sana anak-anak akan dijaga dan dididik menjadi seorang hafiz. Lagi malang jika di rumah langsung tiada suasana agama, apatah lagi tidak membantu ke arah itu. Banyak yang tidak serius. Sekadar ikut-ikutan sahaja.

Pemahaman tentang tahfiz perlu diperbetulkan. Kebanyakkan beranggapan menghantar anak ke institut tahfiz atau kem tahfiz adalah  satu-satunya jalan penyelesaian. Tidak dinafikan dengan menghafal a-Quran boleh menjadikan seseorang itu soleh dan baik budi pekerti . Saya sendiri berhasrat menghantar anak-anak ke tahfiz dan saya juga seorang hafiz. Namun  anak-anak saya sudah dua kali khatam al-Quran ketika sekolah rendah lagi dan hingga sekarang mereka masih belajar al-Quran. Pastinya saya cuba mendidik anak-anak saya supaya mereka biasakan diri dengan membaca al-Quran.  Maksud sabda nabi s.a.w “Tidak pernah aku melihat dosa sebesar surah al-Baqarah iaitu seorang yang dulu menjaga(membaca) al-Quran,tetapi dia meninggalkannya sekarang” (al-Suyuti, al-Itqan). Menjaga di sini bukannya hanya bermaksud menghafal al-Quran, bahkan membacanya setiap hari  juga bermaksud menjaganya. Sekurang-kurangnya tiga ayat setiap hari. Tiada guna jika hanya menghafal al-Quran sedangkan ia tidak diulang dan dibaca setiap hari. Berapa banyak yang menghafal al-Quran lupa hafalannya. Bunyinya seperti peluru berisi, rupanya kelosong.

Ada ibubapa menghantar anak-anak mereka ke institut tahfiz kerana tiada pilihan. Anak-anak yang cerdik dihantar ke asrama penuh dan sebagainya.  Anak-anak yang agak lemah dihantarnya ke sekolah tahfiz. Sepatutnya yang cerdik dan pintar itu dihantar ke tahfiz. Terlalu banyak pilihan, sekurang-kurangnya sekolah agama. Belajar agama tidak semestinya jadi guru agama atau ustaz, tetapi belajar agama ialah mendidik mereka menjadi seorang insan yang berakhlak mulia di samping mentaati perintah Allah.

Sebenarnya yang paling penting ialah memelihara al-Quran dengan membacanya setiap hari dan mampu membacanya dengan baik sekalipun bukan melalui cara hafalan. Mereka ini yang akan memberi syafaat kepada ibubapa dan keluarga. Bukan dengan hantar ana-anak ke kem-kem tertentu, sedangkan bacaannya tidak sefasih mana, lepas itu dibiarkan begitu saja tanpa mendidik mereka membaca al-Quran setiap hari. Apatah lagi jika sering ibubapa beralasan sibut dan tiada masa membaca al-Quran bersama-sama. Apatah lagi mereka sendiripun tidak tahu dan mampu membaca al-Quran.

Sepatutnya anak-anak dididik dengan membaca al-Quran setiap hari dengan bacaan yang betul. Jika tidak mampu mengajar sendiri, carikanlah untuk mereka seorang guru al-Quran. Bukan kerana mengejar khatam al-Quran. Pelajari al-Quran secara berterusan sekalipun di musim cuti. Menghantar anak-anak ke intensif al-Quran dan sebagainya. Mahir membaca al-Quran adalah segala-galanya. Tidak cukup hanya dengan sekali khatam. Selagi mereka tidak ke universiti, selagi itulah ibubapa bertanggungjawab meneruskan kelas al-Quran untuk mereka. Membaca al-Quran dalam keadaan baik, jauh lebih baik dari menghafal dalam keadaan yang buruk bacaannya. Tanda-tanda mereka yang menjaga dengan membaca al-Quran setiap hari ialah ia mengingati sesuatu ayat sekalipun tidak menghafalnyakerana jika sesuatu ayat itu biasa dibaca, ia akan tersimpan dengan sendirinya ke dalam dada pembacanya.