Rabu, 14 Julai 2010

PERLU ADA KELAYAKAN MENGAJAR AL-QURAN

Tidak dinafikan mengajar al-Quran merupakan satu pekerjaan yang mulia dan disanjung tinggi. Sesiapa yang mengajar al-Quran biasanya rezkinya melimpah ruah sekalipun kelulusannya tak seberapa, apatah lagi yang berkelulusan. Ada yang mengajar dari rumah ke rumah, dari pejabat ke pejabat, dan ada juga dari kilang ke kilang. Ada juga yang mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Namun pendapatannya cukup menggembirakan. Ada yang mampu beli rumah dan kereta mewah. Kata orang, takkan papa dan miskin orang yang mengajar agama.

Di sebalik keseronokkan dan kegembiraan kelebihan yang dimiliki itu, banyak orang lupa tentang kelayakkan, kebolehan dan kemahiran yang patut dimiliki oleh seorang pengajar. Satu ketika, ada kawan saya menyanggah bila saya kata kita buat satu kelas bahasa arab dalam bentuk tafsir. Kata dia, mana boleh orang yang tak berkelayakkan seperti kami mengajar bahasa arab tetapi tak bermakna saya tak mampu mengajar bahasa arab kerana belajar bahasa arab ni bertahun-tahunlah juga. Memang betul kami tak berkelayakkan, tapi betapa ramainya guru yang mengajar al-Quran tidak punyai kelayakkan. Kawan saya yang menyanggah saya itu pun tak ada kelayakkan mengajar al-Quran, dalam waktu yang sama dia juga mengajar al-Quran bersama-sama kami kerana kelayakkan dia mengajar bahasa arab sahaja.

Bezanya Ilmu Bacaan al-Quran dengan Ilmu-ilmu lain ialah ia tidak memadai hanya mempelajari teori jika tidak disusuli dengan amalan yang perlu kepada sebutan yang fasih dan ia diambil daripada seorang guru yang mutqin dan berkelayakkan. Bukan itu saja, ia perlu diulang baca berulang-ulang berpuluh kali, bergantung kepada kebolehan individu. Lagi baik, jika ia mampu menghafal kerana cara menghafal boleh mengekal dan menyimpan setiap bacaan yang dipelajari. Beza jika tidak hafal, susah untuk mengekalkan bentuk bacaan yang dipelajari melainkan diulang berpuluh kali seperti tadi menjadikan ia hampir hafal.

Pentingnya memperolehi bacaan daripada seseorang individu yang berkelayakkan dan yang mahir dalam bacaan al-Quran kerana bagi memastikan setiap bacaan yang dipelajari dan disimpan adalah bacaan yang sahih dan diperakui. Lihatlah, bagaimana seorang guru yang mengajar, hanya menekankan pada teori dan pentarifan semata-mata, tidak menitik beratkan pada perlaksanaan bacaan, sangat kurang amalan bacaan, lalu disuruhnya pelajar mengahafal nama-nama teori dan tarif hukum untuk peperiksaan. Cemerlang dalam peperiksaan, tapi gagal dalam bacaan. Ada juga yang mengajar semata-mata membetulkan bacaan hanya berlandaskan bunyi huruf, asal ada bunyi tapi bukan tempat keluar huruf dan teknik sebutan huruf yang betul, malah tidak tahu membezakan antara hukum dan nama hukum, juga tidak tahu teknik waqaf dan ibtida’.

Kelayakkan mengajar al-Quran ini bukan bermakna ia memiliki sekeping sijil sahaja, malah lebih dari itu. Seseorang yang dikira mempunyai kelayakkan menjadi seorang guru al-Quran sepatutnya mempunyai kateria berikut:
1. Pernah mengambil bacaan al-Quran 30 juzuk daripada seorang guru yang berkelayakkan secara berdepan dan musyafahah serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bacaan al-Quran, bukan secara angkat muat, dan guru agama semata-mata;

2. Memperolehi ijazah atau perakuan daripada seorang guru untuk mengajar, atau memperolehi ijazah daripada mana-mana institusi pengajian al-Quran yang diiktiraf, terlebih utama mereka yang khusus dalam bidang al-Quran;

3. Sebaik-baiknya menghafal setiap bacaan yang diambil daripada guru, jika tidak menghafal sekalipun, mesti seorang yang istiqamah membaca al-Quran dan berulang-ulang kali seolah-olah ia menghafal;

4. Mahir dalam sebutan huruf dan sifat huruf sehingga mampu membetulkan sebutan huruf mengikut tempat sebutan yang betul dan sifatnya yang serasi, mampu merealisasikan hukum dalam bacaan al-Quran sehingga mampu mengesan setiap kesalahan dari yang jelas hingga yang tersembunyi, serta mahir dalam menentukan waqaf ibtida bagi melahirkan kebesaran al-Quran melalui melalui makna yang tersusun dan menarik;

5. Mahir dalam ilmu bahasa arab bagi membantu dalam menentukan waqaf ibtida yang munasabah, bukan hanya mengambil ilmu waqaf ibtida semata-mata daripada kitab-kitab dan guru, malah waqaf ibtida adalah sesuatu yang subjektif, melihat kepada panjang pendek nafas yang ada pada individu, jika tidak, memadai memperolehi daripada guru.

Kiranya kateria di atas tidak dimiliki maka ia hanya layak mengajar di peringkat asas dan permulaan bacaan, dan kiranya mengajar juga di peringkat al-Quran maka hendaklah pelajarnya itu wajib mencari seorang guru yang lebih berkelayakkan dan mahir dalam ilmu bacaan al-Quran. Wallahualam.