Khamis, 19 Ogos 2010

Imam Asim, riwayat Imam Hafs Dan Aliran As-Syatibiy

Sebaiknya kita bermula dengan mengenali Imam Asim , riwayatnya Hafs dan aliran as-Syatibiy sebelum kita memulakan pelajaran Ilmu Tajwid . Ini kerana daripada qiraat [bacaan] dan aliran merekalah kita beramal dan menjadi bacaan utama negara.

Biografi Imam Asim [عاصم ]

 Namanya Asim bin Abi an-Najud al-Asadiy al-Kufiy. Dikenali juga dengan panggilan Abu bakar. Ada yang berkata ayahnya bernama Abdullah dan maknya bernama Bahdalah . Beliau merupakan seorang alim dan guru al-Quran di Kufah .
Salah seorang daripada Imam Qurra Sepuluh . Hidup dari kalangan al-Tabi in . Menerima hadith daripada Abi Ramthah Rifa’ah a-Tamimiy dalam musnad Ahmad bin Hanbal  dan al-Harith bin Hassªn al-Bakriy dalam kitab Abi al-Qasim bin Sallam , kedua-dua mereka adalah sahabat kepada Asim.
Gabungan di antara kefasihan dan kemahiran , kemampuan menyusun dan memperelokkan bacaan al-Quran , menjadikan beliau seorang yang terbaik suara bacaan al-Quran , dan dipuji oleh ramai imam-imam , dan menerima bacaannya secara talaqqi .
Setelah ketiadaan Imam Abi AbdurRahman al-Salamiy yang merupakan gurunya , beliau menjadi tempat rujukan daripada seluruh pelusuk masyarakat untuk mempelajari bacaan al-Quran .
Antara muridnya yang masyhur dan meriwayat bacaan daripadanya ialah Imam Hafs dan Imam Syu’bah . Daripada bacaan yang diperturunkan kepada Imam Hafs kita mengambil bacaan Imam Asim. Jadi dikira bacaan kita sekarang ialah bacaan riwayat Hafs daripada Qiraat Asim .
Ada yang kata beliau meninggal dunia pada akhir tahun 127H, dan ditanam di as-Samawah menghala ke Syam . Ada yang kata beliau meninggal di Kufah pada tahun 128H .
Sanad Imam Asim yang sampai daripada RasululLah diambil daripada Ali bin Abi Talib k .w melalui AbdurRahman al-Salamiy dan AbdulLah bin Mas ud r.a melalui Zar bin Habisy al-Asadiy , dan ramai lagi dari kalangan para sahabah .
Manakala sanad RasululLah dan bacaan yang diperturunkan kepada Hafs adalah bacaan yang diambil daripada Ali bin               Abi Talib k .w melalui AbdurRahman al-Salamiy , dan bacaan yang diperturunkan kepada Syu’bah adalah bacaan yang diambil daripada  AbdulLah bin Mas ud r.a melalui Zar bin Habisy al-Asadiy.

Biografi Imam Hafs [حفص]
            Namanya ialah Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah bin Abi Daud al-Asadiy al-Kufiy al-Bazzaz [penjual pakaian] . Dikenali dengan Hufais . Merupakan kawan dan anak tiri kepada Imam Asim . Ia juga digelar Abu Amru.
Membaca al-Quran secara bertalaqqi  di hadapan Asim dan menjadi mahir sehingga disaksikan sebagai salah seorang ulama . Sesungguhnya beliau sangat banyak menghafal . Imam as-Syatibiy pernah memuji Imam Hafs dengan katanya :
وَحفْصٍ  وَبِالإِتْقَانِ  كَانَ  مُفَضَّلا
[ “….Hafs adalah seorang yang mahir dalam membaca al-Quran dan mempunyai kelebihan...” ]

Oleh kerana itulah riwayatnya masyhur dan banyak imam-imam menerima  bacaannya secara talaqqi termasuk sahabat-sahabatnya . Tidak menjadi pelik kerana Imam Asim sebagai bapa tiri yang mendidiknya sendiri . Setelah Imam Asim meninggal , beliau pula menjadi tempat menimba bacaan al-Quran oleh masyarakat dalam tempoh yang agak lama .
Abu Yahya bin Muayyin pernah berkata : “Riwayat yang sahih yang pernah diriwayatkan  daripada Imam Asim ialah riwayat Umar Hafs bin Sulaiman ” . “Beliau adalah murid Asim yang paling berpengetahuan dan sebutan hurufnya lebih rajih dan tepat berbanding Syu’bah”  kata Abu Hisyam al-Rifa’i. Kata al-Zahabiy : “Bacaannya dipercayai , terbukti dan tepat” .  Ibn al-Munadiy ada berkata : “Dia membaca al-Quran di hadapan Asim secara berterusan . Orang-orang dulu berpendapat beliau mendahului Syu’bah dalam menghafal. Mereka menyifatkan sebutan hurufnya tepat yang pernah ia pelajari  daripada Asim. Beliau mengajar       al-Quran dalam tempoh yang lama” .
Beberapa orang tokoh ulama telah mendengar dan mengambil bacaannya secara berdepan , antaranya Hussain bin Muhammad al-Marwaziy , Amru bin as-Sobah , Abid bin AsSobah , al-Fadlu bin Yahya al-Ambariy , Abu Syuib al-Qawas dan ramai lagi.
Mengikut riwayat yang sahih beliau lahir pada tahun 90H dan meninggal pada tahun 180H.

Biografi Imam as-Syatibiy [الشَّاطِبِى]
            Namanya ialah Abu al-Qasim bin Fayyurah bin Khalaf bin Ahmad al-Ra’iniy as-Syatibiy al-Andalusiy . Lahir pada tahun 538 di Syatibah iaitu salah sebuah perkampungan di Andalus .
            Mempelajari Ilmu Qiraat daripada Imam Abi al-Hasan Ali bin Hazil al-Balansiy , bersambung daripada Abi Daud Sulaiman bin Najah , bersambung daripada Imam Abi Amru Uthman bin Said ad-Daniy [pengarang kitab Qiraat at-Taisir]. Beliau juga mempelajari Ilmu Qiraat daripada Imam Abi AbdulLah Muhaammad al-‘As an-Nafaziy bersambung daripada para alim sezamannya .
            Beliau amat dikenali  dan terkenal dengan kitab Qiraat Tujuh yang berjudul “Hirzul Amani wa Wajhut Tahani” yang bersandarkan kepada kitab at Taisir Imam Amru ad Daniy dan tersusun daripadanya 1173 bait.
            Meninggal dunia selepas asar di Mesir pada 8 Jamadil Akhir tahun 590H .  Beliau di kebumikan di Qarafah , berhampiran lereng bukit al-Maqtam . Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: