Mengajak orang belajar al-Quran bukan satu perkara yang mudah. Ada orang niat dah berkali-kali, namun tak jadi-jadi nak belajar. Itu belum dengar cakap-cakap orang, tak payah belajar, cukup dengan apa yang ada, buat apa susah-susah, katanya buat seliuh lidah dan mulut je. Kalau dah tak pandai, macam-macamlah alasan yang diberi, bimbang ada jamaah komen yang bukan-bukan, maklumlah bila ‘ustaz’ dah mula gelabah bila disuruh kehadapan jadi imam. Bacalah al-Quran dengan lahjah arab, elakkan diri daripada membaca al-Quran seperti orang fasik dan melakukan dosa-dosa besar. Orang yang masih dalam kefasikan dan melakukan dosa besar tidak akan mampu belajar dan membaca al-Quran dengan baik dan sempurna [dalam hadis riwayat al-Tirmizi].
Belajarlah al-Quran dengan mencipta kesempatan. Belajar mungkin datang sekali dalam hidup. Tak pandai tarannumpun tak apa, asalkan fasih sebutan huruf dan betul hukum bacaan. Sampai bila kita mampu mengelak. Umur semakin lanjut, mati semakin dekat. Bayangkan kesan sebutan al-Quran yang tidak sempurna, solat dan amalan yang lain macam mana? Mulai perbaiki kualiti hidup dengan mahir membaca al-Quran. Nak jadi soleh tanpa mahir membaca al-Quran seperti orang mandi tak pakai wangian. Seorang mukmin yang mahir membaca al-Quran akan ditempatkan bersama para malaikat bararah, seorang mukmin membaca al-Quran sedangkan baginya kesulitan dalam membaca baginya dua ganjaran [dalam hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi].
Jangan sesekali menggadai diri dengan membiarkannya terubang-ambing dilembah yang curang dan hina. Pilihlah kedudukan yang mulia dan terpuji dengan mencari tempat yang lebih selesa dan lapang. Ingatlah kepada kehidupan di masa hadapan nasib untung yang belum memberi apa-apa jaminan di akhirat.
Antara faedah mempelajari al-Quran ialah :
1) Sebutan menjadi lebih baik dan bacaan bertambah elok sehingga memungkin seseorang itu memperolehi pahala yang berganda-ganda di dalam solat dan amalan lain ;
2) Mendapat keredaan AlLah Taala di atas kecintaan seseorang menghayati bacaan al-Quran dan tidak mempermainkannya ;
3) Memperolehi kebahagiaan di dunia dengan kehidupan yang lebih teratur dan sejahtera, mendapat kebahagiaan di akhirat dengan hati yang tenang dan sejahtera ;
4) Memelihara lidah daripada kesalahan menyebut kalimah al-Quran dan menjadi seseorang lebih fasih dalam setiap tutur susun bacaan al-Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan