Khamis, 19 Ogos 2010

Kepentingan Pelajari Bacaan al-Quran Secara Talaqqi  [mengambil bacaan guru secara berdepan dan musyafahah] :

  1. Mempelajari bacaan al-Quran secara talaqqi adalah satu perkara yang amat penting . Talaqqi bermaksud mengambil ilmu daripada seorang guru secara berdepan dan menerima penjelasannya satu persatu dari mula hingga ke akhir bab. Kerana itulah tidak memadai hanya mempelajarinya di kitab sahaja  tanpa mempelajarinya secara  bertalaqqi daripada seorang guru yang mutqin dan amat memelihara bacaan al-Quran.
  2. Ia dititik beratkan kerana tidak semestinya apa yang ditulis dalam mashaf akan sama dengan apa yang dibaca. Ditambah pula dengan ayat-ayat al-Quran sebenarnya dibaca dengan berbagai bacaan atau lahjah qiraat sebagaimana yang diajar oleh baginda rasul s.a.w bertujuan untuk memudahkan umatnya membaca al-Quran tanpa hanya satu cara bacaan sahaja. Di mana bacaan-bacaan itu diriwayatkan oleh berbagai imam yang sampai sanadnya daripada rasauluLlah s.aw. Sebagai contoh di Malaysia umat Islam secara keseluruhannya mengamalkan bacaan yang diriwayatkan oleh Imam Hafs yang diambil daripada gurunya Imam Asim sanadnya sampai  kepada RasulLah s.a.w melalui Abi Abdir Rahman asSalamiy yang diterima daripada Ali karamaLlahu wajhah. Begitu juga dengan bacaan-bacaan lain sanadnya juga sampai kepada RasuluLlah s.a.w melalui sahabat yang lain pula. Sebagai contoh :  
} إِنَّّمَا جَزَآؤُوا  الَّذِينَ  يُحَارِبُونَ} {أَوْلَأَاذْبَحَنَّهُ} {بِأَيِّيكُمُ المَفْتُونَ {
}حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ}{يَعِظُكُمْ}{فَسَقَى لَهُمَا}{فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ }{وَذَرُوا الْبَيعَ{

  1. Sebahagian pembaca al-Quran pula mungkin berbeza cara membacanya walaupun  lafaz dan tulisannya adalah sama berikutan pembaca memahami makna dan usul-usul kalimah-kalimah tersebut  dengan cara yang berbeza-beza. Mungkin juga disebabkan oleh berbeza cara menikmati dan mendengar ayat-ayat al-Quran.  Kesemua ini akan dapat dipelihara jika sekiranya pembelajaran al-Quran secara talaqqi diamalkan dan memperolehinya daripada guru yang berkelayakkan.
  1. Kekurangan yang ada ialah para pembaca al-Quran tidak dapat menentu dan mengenali guru yang benar-benar berkelayakkan untuk mengajar. Akibatnya bacaan yang mereka terima itu salah dan mengelirukan. Jadi tidak menjadi satu kesalahan sekiranya pembaca atau pelajar menyelidiki kelayakkan seseorang guru sebelum mereka memulakan pembelajaran.
  1. Satu peringkat, ada sesetengah pembaca al-Quran salah dalam bacaannya sehingga hampir-hampir makna ayat tersasar daripada kehendak ayat. Ini terjadi kerana mereka tidak berhati-hati dan bersikap ambil mudah ketika membaca al-Quran. Jika pembaca seorang yang mahir, peka, faham dan menikmati ayat satu persatu sudah tentu  bacaannya menepati sebutan huruf, makna mengikut kehendak ayat, menepati hukum bacaan, dan sempurna waqaf ibtida. Mereka juga tahu bila bacaan mereka  salah dan akan mengulanginya semula dengan bacaan yang betul.
  1. Sebagaimana hukum-hukum dalam al-Quran itu tidak memadai sekadar menadah ilmu di kitab bahkan perlu mempelajarinya secara mendengar ,bertalaqqi dan juga secara musyafahah yang berterusan. Cara ini merupakan ikutan daripada cara rasulullah s.a.w menerima bacaan al-Quran bersama hukum-hukumnya daripada Jibril a.s  dengan cara bertalaqqi dan menerima secara musyafahah pula daripada Allah Taala . Begitu juga ia sampai kepada kita dengan cara tawatur [secara berkumpulan yang tidak sekali-kali mungkin berlakunya pembohongan] dan memastikan kesahihan sanad merupakan salah satu daripada 3 rukun kesahihan al-Quran . Wallahu a'lam.

1 ulasan:

WAN FADZLI KIJAL berkata...

Boleh dtg ke USJ, saya ada kelas di sana setiap isnin atau khamis mlm. Bila2 masa hubungi:0193030262